Thursday, September 03, 2009

Utusan Malaysia

Dapatkan suratkhabar Utusan Malaysia hari ini..
ada artikel mengenai kakliza dan buku masakan dalam ruangan MEGA..
kakliza copy n paste dar Utusan Online...

Kini, tiada lagi alasan untuk tidak memasak

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Chef Hanieliza mahu koleksi bukunya menjadi rujukan kepada semua golongan masyarakat.


MEMASAK pada sesetengah orang sungguh menyusahkan. Mereka tidak suka terperuk lama di dapur dalam keadaan yang panas dan berasap. Ada juga yang merasakan untuk memasak satu-satu masakan itu, memerlukan bahan-bahan yang banyak dan sukar dicari.

Ada juga menyatakan tidak ada masa untuk memasak kerana bekerja. Inilah yang menyebabkan ada antaranya yang lebih suka makan di luar atau membeli sahaja.

Namun dalam keadaan ekonomi yang gawat serta harga makanan yang melambung naik, maka adalah lebih baik untuk mengamalkan jimat cermat iaitu memasak sendiri daripada membelinya.

Bagaimanapun memasak ini sebenarnya tidak ada paksaan kerana tepuk dada tanya selera. Sekiranya seseorang itu benar-benar ingin berjimat dan memberi peluang kepada anak-anak dan suami merasa air tangan sendiri, maka ia harus dimulakan dengan memasak kerana banyak dihabiskan untuk membeli masakan.

Memang tidak dinafikan sempena bulan puasa ini, tarikan bazar-bazar Ramadan begitu menggamit-gamit kedatangan pengunjung dengan pelbagai juadah, namun apa kata pada tahun ini, kita memasak sendiri.

Jika kena dengan caranya, ia cukup mudah malah bahan-bahannya tidak banyak dan senang dicari, yang pasti boleh memberi satu kejutan kepada orang tersayang.

Buku masakan nukilan chef, penulis buku masakan dan penulis tamu, Noorliza Kamarudin, 51, Senangnya Memasak boleh membantu golongan yang baru belajar memasak atau yang ingin mempelbagaikan juadah untuk keluarga.

Selain resipi, dimuatkan juga gambar langkah demi langkah memasak. Lagi istimewa turut disertakan tip, khasiat dan petua setiap masakan yang dimasak.

Ini pasti membuat aktiviti memasak menjadi lebih mudah dan santai serta tidak ada alasan lagi bagi mengelak daripada berada di dapur. Bahkan, mereka yang pertama kali memasak pun boleh menghidangkan masakan yang lazat.

Menurut Noorliza yang mahu dikenali sebagai Chef Hanieliza, koleksi buku Senangnya Memasak ini mengandungi 15 tajuk iaitu ayam, daging, kambing, kerabu dan salad, makanan Barat, makanan laut, bihun dan mi, nasi, sambal dan sos, sayur, tauhu dan telur, puding dan pencuci mulut, ikan, kuih kukus dan kuih muih minum petang.

23 resipi pilihan

‘‘Tetapi buat masa ini hanya sembilan buah buku berada di pasaran, manakala enam lagi akan menyusul kemudian. Dijangka selebihnya akan diterbitkan sebelum hari raya. Setiap set buku resipi Senangnya Memasak ini mengandungi 23 resipi pilihan seisi keluarga dengan harga RM5.50 setiap naskhah,’’ katanya.

Menurut Hanieliza yang banyak menghabiskan waktu remajanya di dapur bagi membantu neneknya yang membuat bisnes katering, cabaran untuk menyiapkan buku ini memang banyak.

‘‘Ini kerana ia dilakukan oleh saya seorang. Dari mula membeli barang di pasar, memasak hinggalah mengambil gambar, semua dilakukan sendiri.

‘‘Kadangkala itu ada bahan yang terlupa nak beli, kena pergi ke pasar semula, sayur dah layu dan macam-macam lagi,’’ ceritanya yang berasal dari Kampung Nakhoda, Batu Caves tetapi telah menetap di Terengganu hampir 27 tahun kerana mengikut suami bertugas di sana.

Katanya, satu buku boleh disiapkan empat hingga lima hari dan yang paling lama disiapkan ialah dua minggu. Dalam menyiapkan buku ini, saya selalu sasarkan satu hari, enam masakan dimasak. Sebab itulah sembilan buah buku itu boleh siap hanya dalam masa beberapa bulan sahaja.

Ditanya bagaimana mendapat idea mereka resipi-resipi tersebut, Hanieliza yang sememangnya peramah memberitahu, ini kerana suaminya tidak suka makan di luar dan mahukan makanan yang cepat dimasak.

‘‘Oleh itu saya harus memasak beberapa jenis masakan dalam jumlah yang sedikit setiap hari dengan kadar yang cepat. Inilah yang menyebabkan kebanyakan resipi saya telah diolah dengan hanya mengandungi bahan-bahan yang mudah dicari dan cepat dimasak. Kebanyakan masakan itu juga tidak memerlukan waktu yang lama terperuk di dapur,’’ kata ibu kepada lima orang anak yang turut mengadakan kelas masakan di sekitar Terengganu.

Beliau yang juga pengajar untuk kelas bakeri, kuih tradisional dan masakan di sekitar Terengganu menjelaskan, empat buku pertama diterbitkan telah pun habis di pasaran kerana permintaan sungguh memberangsangkan.

‘‘Ada yang datang ke rumah atau e-mel kepada saya untuk mendapatkan buku-buku itu yang sudah tiada di kedai-kedai buku seperti MPH, Borders, Times, Kinokuniya. Oleh itu dinasihatkan bagi yang ingin mendapatkannya bolehlah memesannya di www.pts.com.my,’’ katanya turut mempunyai laman web: hanieliza.blogspot.com bagi yang ingin bertukar-tukar pandangan mengenai masakan.

22 comments:

Ummi said...

Waaaahhh dah kuar newspaper lak..satgi nak pi cari lak Utusan kalu sempat..xpun xpa..tp Kak Liza jangan lupa untuk Ummi buku2 selebihnya tu eh..masuk list tau! Tahniah kak Liza, atas jerih perih menyiapkan buku dan usaha murni Kak Liza membantu kaum Hawa dalam mencapai salah satu tips keharmonian rumahtangga dan memikat suami berada di rumah..walllaaaahhhhh!!! Cayaaaanggg dia!!! Semoga kak Liza sentiasa sihat dalam melaksanakan tugasan murni nih dan diberikan ganjaran yang setimpal atas keikhlasan dan niat baik kak Liza, amiiinnnn...

Shemmi said...

i lov u kak lieza..huhu..

kawan sy borong semua buku2 ni.. katanya ia mudah dan hasilnya pun sedap. sgt praktikal.


saya.. baru beli 1..huhuhu..

salam ramadhan dan semoga terus sukses!sukses!

nizaa said...

kak liza,

tahniah.... kuar paper utusan pulak..All the best kak liza ye..

Zue Murphy said...

Tahniah! Kak Liza semakin popular dan dapat keluar paper untuk berita dan hasil usaha kerja yang boleh membantu orang lain untuk menyediakan makanan yang sihat, cepat dan mudah kepada keluarga. Keep up the good work!

Ummi Nuhlan said...

salam..kak liza..imah dah ada 3 dah.. daging..makanan laut dan ikan.. imah nak order lagi 20 buah yang imah xdak..
mcm mana imah nak bank in duit..
leh x pm kat imah email akak n akaun bank..
imah beli 3 tu masa book fair akt perlis 2 bulan lepas.

Ummi Nuhlan said...

riezma_4eva@yahoo.com

maklang said...

maklang tunggu jugak buku2 baru tu..nak2 yang kerabu!

TQ kak ...tak payah maklang beli sokkabar!:)

Penyulawa (Kak Anim) said...

Kita baru beli dua Nasi dan Kambing utk hadiah kat kawan dari Indonesia. untuk sendirik belum lagi sbb dalam kepala boleh beli bila2... tp sold out la pulak...

Congrats Kak Liza...

MamaFaMi said...

Kita dah beli dah kak, suratkhabar tu... Posing anggun lagi kakak ku yang sorang ni...

Mulan said...

takpe, lenkali meh saya tolong kalau kak liza nak buat buku resipi lagi.. saya basuh pinggan, ikut pi pasar, cuci sayur, ayam daging.. tolong amik gambar.. tapi syaratnya, kena kasi saya makan semua tu.. ha ha.. congrats kak liza.. moga sentiasa dimurahkan rezeki..

Unknown said...

macam ahli politik pun ada, macam artis pun ada.

tapi sebenarnya.. celebriti masakan.

tahniah.

SYAbAR said...

Salam Kenal & Tahniah Kak Liza. Saya ramai lg wanita seperti Kak Liza akan hadir selepas ini bersama resepi2 terutama resepi keluarga.

Semoga Kak Liza lebih sukses selepas ini.

Maisya said...

dah sold out ke buku yg awal-awal tu? Maisya tak beli lagi, ingat nak tunggu semua habis publish baru beli semua sekaligus! Take care ye...dah nak habih dah projek buku tu lepas ni bolehlah berehat kan.

Sal said...

Macam mana ni nak order buku nih..kat website PTS semua dah sold out. Saya nak beli bukuni secepat mungkin...

My Life My World said...

Tahniah Kak Liza, semoga terus sukses.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
deelira@deeliraz said...

salam..
kak liza, sy nak beli kak liza nye buku..

leh bagi no akaun or macamaner?
ni email sy
deelira1102@yahoo.com

tq kak.

Anonymous said...

Salam K.Liza, saya adalah silent reader k.liza sedari rumah lame lagi. Dekat KK ni amat terhad ler buku akak. Saya cuma dpt beli 2 buah buku je akak, daging & ayam. Laris sangat. Sangat praktikal dan panduan yang senang difahami.

Semoga akak terus maju dan dimurahkan rezeki. InsyaAllah.

boxhousestudio said...

akak ku kutip semua buku buku masak mu tanda kenangan yang kekal abadi...ewah!!!...sayang akak...

zarra bakar said...

alahai...ketinggalan nih...kena rayau kedai buku nampaknya...hehehe

SM79 said...

kami sefamili dh beli semua buku2 kak lieza dr kedai buku... mmg best bangat.. husband plak suka resepi kambing & daging... sedap...

Zuraina Ali said...

Sblm ramadhan ari tu pergi Popular Book Store di Kuantan nak tgk buku2 utk dibeli pada budak2. Terpandang buku2 ni diletak kat salah satu meja penuh dgn pelbagai buku resepi yg lain. Since hubby suka makanan barat dan pelbagai jenis mi, sy terus amik dua buah buku ni utk dibeli. Setakat ni sy dah cuba buat spaghetti bolognese, pie shepard, mi utara, ayam panggang sumbat lemon, peperoni bakar n steak. Bila lawat kklieza punye fotopage, sy cuba lak chocolate chips cookies. Alhamdullillah setakat ni semenye jd kecuali steak...So kklieza Teruskan usaha n berkarya "Keep up the good work".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Followers